Pelakon Adlin Aman Ramlie menganggap tindakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi membuat laporan polis terhadap bendahari persatuan itu, aktres Vanidah Imran pada Jumaat lalu adalah tindakan yang tidak wajar.
Adlin yang memegang jawatan sebagai juru audit persatuan itu berkata, apa yang dilakukan Zed hanyalah membuka pekong persatuan kepada khalayak.
"Saya tidak setuju dan mengecam tindakan dia membuat laporan polis sebelum berbincang dengan kami semua terlebih dahulu.
"Tindakan itu hanya membuka pekung persatuan kepada umum dan orang sendiri tahu tentang kegagalan dia menerajui persatuan," ujarnya kepada Artis Meletop, ketika dihubungi di sini, Isnin.
Adlin diminta mengulas tentang laporan polis yang dibuat oleh presiden Seniman, Zed Zaidi di Balai Polis Taman Melawati pada 19 Disember lalu terhadap Vanidah Imran kerana melarikan buku cek milik Seniman.
Zed Zaidi membuat laporan polis pada 19 Disember lalu terhadap kehilangan buku cek dibawah jagaan bendahari iaitu Vanidah Imran
Zed juga dalam laporan mStar Online pada Sabtu lalu turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa orang ahli jawatankuasa baharu persatuan itu yang tiada persefahaman dalam memimpin persatuan.
Dalam pada itu Adlin berkata, apa juga yang berlaku dalam persatuan seharusnya dibawa berbincang dan rahsianya disimpan daripada diketahui pihak luar.
Tambahnya, sepanjang perlantikan barisan baharu pada September lalu, Zed masih tidak dapat mengendalikan Seniman dengan baik.
"Dia yang seharusnya letak jawatan kerana tidak boleh bekerja dengan ahli jawatankuasa lain dengan baik dan membuat keputusan tanpa berbincang," ujarnya.
Tambah Adlin, lebih mengecewakannya apabila kes telefilem biopik Saloma yang dihadapinya dahulu tidak mendapat bantuan daripada persatuan tersebut.
Katanya, perkara itu telah diberitahu secara bertulis bagi mendapatkan sokongan, namun sehingga hari ini tiada maklum balas daripada pihak persatuan.
"Saya punya kes biopik Saloma memaparkan kisah palsu ayah saya, Allahyarham AR Tompel sampai sekarang tiada reaksi darpada pihak Seniman langsung. Walhal saya sudah beri surat kepada persatuan agar memberi sokongan dalam menyelesaikan kes tersebut," katanya.
Khir Rahman
Sementara itu AJK persatuan berkenaan, pelakon Khir Rahman berkata, dia masih terkejut dengan laporan polis yang dibuat oleh persatuan itu pada Jumaat lalu.
Katanya, ia adalah tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu memberi kesan buruk serta menjatuhkan maruah orang lain.
"Ia tidak wajar dibuat kerana perkara itu merosakan reputasi orang lain. Kasihan Vanidah Imran yang terkena dalam perkara ini.
"Sebagai presiden dia harus melindungi ahli dan bukannya merosakan atau mencari salah orang lain jika persatuan itu gagal dijalankan," ujarnya.
Tambah Khir, sejak menjadi ahli barisan Seniman, dia beberapa kali cuba menganjurkan mesyuarat untuk berbincang tentang masalah industri.
Namun, usaha itu menemui kegagalan apabila Zed menganggap sebagai tiada yang perlu dibincangkan buat masa ini.
"Saya sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap Biro Pendidikan dan Latihan Seni sudah menjalankan tanggungjawab saya untuk mengerakkan aktiviti seni.
"Namun setiap kali saya minta untuk diadakan mesyuarat pasti ditolak. Malah, group WhatsApp yang saya buat pun tidak mahu digunakannya.
"Dia suruh saya e-mel butiran untuk adakan mesyuarat dan apabila sudah ikut peraturan yang dimahukan, dia pula kata tiada apa yang penting untuk dibincangkan," katanya.
Salah seorang AJK, iaitu Jamaludin Mat atau lebih dikenali sebagai Abang Jem berkata, laporan polis itu seharusnya menjadi jalan akhir selepas perbincangan dibuat.
Namun, Jamaludin, 53, berkata, dia percaya tindakan yang dilakukan oleh presiden itu adalah untuk kebaikan persatuan.
"Saya tidak sebelah mana-mana pihak kerana saya tiada masalah bekerjasama dengan semua ahli dalam persatuan. Namun secara rasionalnya, bagi saya jika perkara ini sampai ke peringkat ini ia seperti membuka pekung sendiri.
"Tetapi saya pasti Zed dan Vanidah ada alasan masing-masing bertindak demikian. Buat masa ini saya belum berpeluang untuk mengetahu cerita daripada kedua-dua pihak lagi," ujarnya.
Arash Mohamad
Bagi pelakon Arash Mohamad, dia enggan memberi sebarang komen tentang perkara tersebut dan menganggap kedua-dua pihak mempunyai alasan mereka.
Tambah Arash, apa yang diharapkan sebuah persatuan yang mampu membela nasib anak seni dan bukannya pertikaian sesama ahli.
"Susah nak komen perkara ini kerana ia melibatkan laporan polis dan saya tidak tahu siapa dipihak yang benar.
"Saya harap ia dapat diselesaikan dengan baik melalui satu mesyuarat dan perbincangan," ujarnya.
0 Komentar untuk "AHLI SENIMAN TIDAK PUAS HATI KEPIMPINAN ZED ZAIDI"